Input your search keywords and press Enter.

PKP : Gagal Patuhi SOP, Tiada Alasan Tak Faham Bahasa!

M Update, 03/02/2021 – Tiada alasan tidak faham bahasa sebagai punca kegagalan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata ini kerana hebahan mengenai pematuhan SOP dibuat dalam lapan bahasa utama yang dituturkan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Beliau berkata, selain bahasa Melayu, hebahan dibuat Jabatan Penerangan Sabah menerusi hebahan umum Info On Wheels itu turut menggunakan bahasa Inggeris, Mandarin, Bisaya, Brunei, Bajau, Murut, Dusun, Iranun dan bahasa Bugis.

“Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP dan pembudayaan norma baharu dilaksanakan di 115 lokasi di 16 daerah,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, malam tadi.

Pada masa yang sama, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, turut mengingatkan rakyat di luar bandar negeri ini supaya tidak beranggapan boleh mengabaikan SOP, berikutan lokasi mereka di kawasan pedalaman dan terpencil tidak dipantau pihak berkuasa.

Katanya, pematuhan SOP bagi mengekang penularan COVID-19 sama penting tidak mengira lokasi, sama ada di luar bandar atau bandar.

“Jangan beranggapan boleh melanggar SOP kerana tiada polis memantau mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Pematuhan SOP bukan dibuat kerana ada polis yang memantau.

“Namun, pasti ada masanya perbuatan melanggar SOP itu dapat dikesan juga oleh pihak berkuasa dan kesannya mereka sendiri terpaksa menanggungnya.

“Perlu diingat COVID-19 boleh menular tanpa mengira tempat, sama ada di bandar atau luar bandar. Kalau ada yang berpendapat di luar bandar tidak perlu mematuhi SOP, ia akan memudahkan lagi penularan COVID-19,” katanya.

Sebelum ini, lapan penduduk kampung di Tenom dilaporkan dikompaun RM1,000 kerana didapati melanggar SOP dengan menaiki kenderaan melebihi kapasiti dibenarkan.

Walaupun penduduk terbabit merayu agar tidak dikenakan tindakan atas alasan keluar membeli makanan dan ubat, mereka tetap dikenakan kompaun RM1,000.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, ketika mengulas perkara itu berkata, walaupun bersimpati dengan penduduk terbabit, tindakan itu penting sebagai pengajaran kepada semua pihak.

Katanya, pihak berkuasa perlu bertegas menangani isu pematuhan SOP berikutan semakin banyak kes pelanggaran SOP dengan pelbagai alasan membabitkan orang ramai sejak kebelakangan ini.

Semalam, Sabah merekodkan 92.85 peratus purata pematuhan SOP, memberi gambaran kepatuhan rakyat negeri ini terhadap SOP ketika PKP masih pada tahap yang rendah.