Input your search keywords and press Enter.

COVID-19 : Stadium Tertutup MBPG PKRC Pertama Di Johor Beroperasi Sepenuhnya 10 Feb

M Update, 04/02/2021 – Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang merupakan Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) COVID-19 pertama di Johor, bakal beroperasi sepenuhnya pada 10 Feb ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu berkata PKRC berkenaan akan menempatkan 1,200 buah katil dengan melibatkan seramai 60 hingga 100 petugas daripada pelbagai agensi.

Beliau berkata PKRC itu akan menerima pesakit positif COVID-19 daripada kategori satu dan dua iaitu mereka yang berisiko rendah dan tidak bergejala.

“PKRC ini mengikut model seperti di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, yang turut menyediakan fasiliti dan aktiviti-aktiviti untuk pesakit.

“Pesakit yang ditempatkan di sini adalah kategori satu dan dua iaitu tidak berisiko tinggi serta juga yang kita lihat tidak sesuai kuarantin di rumah, seperti tiada bilik air serta jumlah orang di dalam rumah yang terlalu ramai,” tambahnya.

Dr Aman berkata PKRC di Stadium Tertutup MBPG akan menempatkan pesakit warganegara sahaja yang berumur lima tahun ke atas, manakala warga asing dihantar ke MAEPS seperti sebelum ini.

Beliau menjelaskan pesakit positif COVID-19 yang akan ditempatkan di PKRC itu juga tetap akan melalui penilaian terlebih dahulu di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang terdapat di setiap daerah di negeri ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Pengurusan Bencana Negeri dan JKNJ akan melihat fasiliti lain termasuk hotel untuk membuka PKRC swasta yang boleh digunakan majikan atas kos mereka untuk menempatkan pekerja mereka yang positif.