M Update, 16/2/2021 – Malaysia akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech seminggu lebih awal iaitu pada 21 Februari ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setibanya vaksin Covid-19 itu, akan bermula pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi fasa pertama pada 26 Februari.
“Fasa pertama akan membabitkan saya sendiri bersama petugas barisan hadapan bermula hari berkenaan sehingga April.
“Fasa kedua pula akan bermula pada April sehingga Ogos yang membabitkan kumpulan berisiko tinggi manakala fasa ketiga yang membabitkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei 2021 sehingga Febuari 2022,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, program imunisasi menyeluruh itu bertujuan memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 sekaligus menamatkan pandemik itu. Tambah beliau, program berkenaan akan memberi impak positif kepada seluruh negara terutama pembukaan semula sektor ekonomi dan pelancongan.
“Kita boleh saling ziarah-menziarahi, aktiviti bersukan juga boleh diamalkan tetapi dengan mengamalkan normal baharu.
“Inilah yang saya maksudkan apabila saya katakan bahawa vaksin Covid-19 adalah antara sinar harapan paling utama untuk kita menang dalam perang melawan Covid-19. Pastinya, satu lembaran baru bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.
Justeru, beliau menyeru masyarakat supaya tidak mengambil mudah dan segera mendaftar bagi mendapatkan vaksin itu.
“Ingatkan saudara-mara dan rakan untuk turut serta. Pastikan kita hadir pada waktu ditetapkan untuk dos pertama dan juga dos kedua, kerana apabila diri kita dilindungi, kita juga dapat melindungi yang lain terutama orang disayangi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang disiarkan secara langsung, hari ini. Buku Panduan Program Imunisasi boleh dimuat turun di http://www.VaksinCovid.gov.my.