Input your search keywords and press Enter.

PM Lancar Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Hari Ini

M Update, 162/2021 – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini, mengandungi pelbagai maklumat berkaitan program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakan negara berikutan pandemik COVID-19.

Majlis pelancaran berkenaan dijadual bermula 9.30 pagi ini yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia dan beberapa stesen televisyen tempatan negara. 

Kandungan buku berkenaan antara lain mengandungi jenis-jenis vaksin yang digunakan kerajaan, fasiliti disediakan untuk menyimpan vaksin di seluruh negara, pengambilan vaksin dari sudut pandangan agama serta panduan imunisasi.

Semalam menerusi infografik yang dimuat naik oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pelan imunisasi itu merangkumi penerangan mengenai empat komponen utama iaitu bekalan vaksin, kumpulan sasaran fasa pemberian vaksin, lokasi dan kaedah pelaksanaan program serta tenaga kerja pelaksanaan program imunisasi berkenaan.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dilaksanakan secara tiga fasa mulai hujung bulan ini, dengan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.

Proses pendaftaran sebagai penerima vaksin COVID-19 bagi orang ramai dijangka dibuka bermula Mac ini dan dilaksanakan dengan konsep sukarela.

Orang ramai juga boleh membaca buku panduan berkenaan menerusi laman web yang akan dilancarkan serentak dengan pelancaran buku berkenaan.