Input your search keywords and press Enter.

SOP Ibadah Haji Dikemas Kini Penuhi Syarat Arab Saudi

M Update, 16/2/2021 – Prosedur operasi standard (SOP) ibadah haji Malaysia akan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi memastikan ia memenuhi syarat Kerajaan Arab Saudi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, SOP berkenaan perlu diserahkan kepada Kerajaan Arab Saudi untuk diteliti dan mendapat pengesahan bagi mengelak jemaah haji Malaysia dihalang daripada mengerjakan haji pada tahun ini.

Katanya, setakat ini Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (JAWHAR) bersama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) serta Kementerian Kesihatan (KKM) sudah selesai menyediakan SOP ibadah haji Malaysia.

Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi dijangka mengadakan pertemuan bagi membincangkan berkenaan kuota haji dan umrah pada bulan depan.

Semalam, media melaporkan, Atase Agama Arab Saudi ke Malaysia, Sheikh Abdul Rahman Al-Rubaian, berkata Arab Saudi dijangka menerima kunjungan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan perkara berkenaan. Perbincangan antara dua negara mengenai kuota haji dan umrah itu bakal disertai Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Zulkifli.

SOP itu akan dikemaskini dari semasa ke semasa supaya selaras dengan SOP disediakan Arab Saudi sebelum ini kepada jemaah haji seluruh dunia. Pihaknya harap SOP dikemukakan itu nanti mendapat kesepakatan dan diterima Kerajaan Arab Saudi.