Input your search keywords and press Enter.

Sultan Nazrin Puji Guru Sukarela Bersihkan Sungai Balun

M Update, 17/2/2021 – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menzahirkan titah penghargaan terhadap seorang guru yang sanggup membersihkan Sungai Balun di Slim River, Tanjung Malim secara sukarela.

Sultan Nazrin bertitah usaha Ismail Mohd Zain, 40, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Felda Besout 1, Slim River membersihkan Sungai Balun daripada sampah terperangkap dapat menghindari kejadian banjir.

Selain itu, baginda bertitah usaha Ismail juga dapat memelihara habitat pelbagai spesies hidupan air untuk membiak seterusnya memberi rezeki kepada nelayan darat.

“Beta menzahirkan penghargaan atas sifat amat terpuji yang telah saudara Beta pamerkan,” titah Sultan Nazrin menerusi satu warkah penghargaan di sini hari ini. 

Sultan Perak bertitah sebagai seorang guru, Ismail telah menunjukkan teladan kepimpinan yang baik kepada profesion keguruan dan sewajarnya sikap beliau dicontohi oleh warga pendidik serta para pelajar di negara ini.

“Semoga Allah menerima usaha murni ini yang dilakukan sebagai amal makruf yang dilimpahi dengan ganjaran dunia dan akhirat,” titah Sultan Nazrin. 

Ismail berkata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi hantaran di Facebook semalam turut menzahirkan ucapan penghargaan atas usahanya membersihkan sungai berkenaan.

Beliau yang berasal dari Felda Trolak, Tanjung Malim berkata aktiviti membersihkan Sungai Balun terletak kira-kira 30 meter dari kediamannya dilakukan sejak tahun lepas kerana tidak gemar melihat keadaan sungai dipenuhi sampah sarap dan kotor.

“Apa yang saya lakukan ini hanyalah sumbangan kecil saya dalam memelihara alam sekitar, ia tidak memerlukan modal dan tidak mengambil masa begitu lama untuk melakukannya,” katanya. – BERNAMA