M Update, 25/02/2021 – Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bakal menjadi penerima vaksin pertama di negeri itu pada 26 Februari 2021 di Klinik Kesihatan Petra Jaya, Kuching. Ini turut bermakna pelancaran Program Imunisasi Fasa 1 Peringkat Negeri Sarawak diawalkan ke Jumaat, sehari lebih awal dari tarikh asal dijadualkan sebelum ini.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa sidang media Penerimaan Vaksin di gudang kargo Raya Airways, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).
“Kita hendak menunjukkan kepada semua warga Sarawak, beliau yang menjadi individu pertama secara sukarela divaksin Pfizer-BioNtech,” katanya.
Menurut beliau lagi, pemberian vaksin diawalkan kerana vaksin tiba di negeri itu lebih awal dari yang dijadualkan.Pada petang Rabu, Sarawak menyaksikan detik bersejarah apabila sebanyak 23,400 dos vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech tiba di KIA. – Astro Awani