Input your search keywords and press Enter.

Kren Jatuh : Mayat Ketiga Berjaya Dikeluarkan

Foto : Jabatan Bomba dan Penyelamat W.P Kuala Lumpur

M Update, 24/03/2021 – Operasi mengeluarkan mayat seorang pekerja asing yang tersepit di bawah komponen kren gantri di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai, Cheras di sini, selesai awal pagi tadi.

Selepas lebih 43 jam bertungkus lumus, pasukan penyelamat akhirnya berjaya mengeluarkan mayat lelaki warga China dikenali sebagai Mu Tong Zheng yang tersepit antara komponen kren dan ‘U beam’ kerangka binaan berketinggian kira-kira 40 meter.

Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Nordin Pauzi, berkata mayat mangsa selamat dibawa turun pada jam 3.50 pagi dan operasi mengeluarkan mayat selesai sepenuhnya pada jam 4 pagi.

“Saya sendiri naik ke atas struktur berkenaan bersama dua anggota dengan menaiki kren pengangkat untuk membuat penilaian risiko pada jam 2.15 pagi bagi memastikan keadaan benar-benar selamat. Selepas itu, tiga anggota bomba lengkap dengan sut pakaian perlindungan diri (PPE) pula naik ke atas struktur binaan berkenaan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit pada 3.09 pagi. Mereka mengambil masa kira-kira 30 minit berada di atas dan membawa mayat turun sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya pada sidang di lokasi, pagi tadi.

Katanya lagi, selepas hampir dua hari, mayat mangsa sudah hampir mereput dan pasukan penyelamat mengambil keputusan tepat mengeluarkan mayat mangsa pada hari ini.

“Kita tidak boleh menunggu dengan lebih lama kerana keadaan mayat (mereput), namun usaha mengeluarkan perlu dilakukan berhati-hati dan mengambil sedikit masa kerana kita perlu menstabilkan struktur ‘beam’ terlebih dahulu. Kita berhadapan kesukaran kerana mengambil masa lebih daripada sehari untuk menstabilkan ‘beam’ berkenaan sebelum kerja menyelamat dilakukan,” katanya.

Operasi menyelamat di tapak kejadian ditamatkan hari ini dan kita menyerahkan kepada pasukan penyiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk menjalankan siasatan di lokasi. – BH Online