M Update, 04/03/2021 – Zoo Negara akan kembali dibuka kepada pengunjung bermula Jumaat ini, dengan menawarkan 20 peratus diskaun bagi harga tiket dewasa dan kanak-kanak untuk esok (Jumaat) sebagai usaha menarik pengunjung ke situ.
Timbalan Presidennya Rosly Ahmad Lana berkata pembukaan Zoo Negara mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Lembah Klang.
Beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) ketat tetap dilaksanakan dengan hanya 2,500 pengunjung dibenarkan pada satu masa bermula 9 pagi hingga 5 petang.
“Kami bersyukur dan berterima kasih walaupun dalam tempoh PKPB (sebelum ini), kunjungan begitu menggalakkan. Kami sebenarnya bimbang kerana sekiranya Zoo Negara masih belum dibuka, pihak kami akan mengalami masalah,” katanya pada sidang media semalam.
Rosly berkata sepanjang PKP pihaknya menerima sumbangan lebih RM11 juta daripada badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), badan sukarelawan serta individu, sejak Jan 2020 hingga Jan 2021.
Menurut beliau, sumbangan bagi membeli bekalan makanan haiwan, perubatan serta menguruskan haiwan secara berterusan itu dijangka mampu bertahan hingga April ini.
Katanya, pematuhan SOP ketat turut dikenakan dengan mengehadkan 90 orang di kawasan tasik pada satu masa dan dikenakan bayaran masuk RM35 seorang manakala ikan yang ditangkap melebihi 10 kg akan diserah kembali kepada pihak zoo. – BERNAMA