Input your search keywords and press Enter.

JAKIM, JAWI Anjur Karnival Rahmah 2019

M Update, 25/9/2019 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menganjurkan Karnival Rahmah 2019, mulai esok hingga Ahad ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata karnival yang dijadual berlangsung di Dataran Putrajaya itu turut menyasarkan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama. Katanya, karnival berkonsepkan ‘edutainment’ itu turut menyediakan pelbagai program dengan mesej, antaranya ialah kasih sayang, persaudaraan dan kehidupan dalam suasana harmoni.

“Mesej ini penting kerana Islam sentiasa mengunjurkan umatnya untuk berkasih sayang, bukan sahaja sesama Muslim tetapi kepada seluruh makhluk. Setiap gerai pameran mempunyai enam nilai utama RAHMAH, iaitu Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat, selain ada nilai tersendiri yang akan diterjemah dan sarat dengan mesej,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pelbagai program menarik yang mempunyai mesej tersendiri menanti pengunjung di karnival berkenaan, antaranya Karnival Kanak-Kanak, program pencarian bilal dan Maidatul Quran, mulai esok. Ia disusuli dengan Halal Fun Run, pesta buah-buahan, Jamuan Rahmah, pada Sabtu sebelum diakhiri menerusi penganjuran Konsert Rahmah mulai jam 9 malam, Ahad ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap karnival berkenaan boleh membawa mesej kedamaian, aman, keharmonian yang sangat diperlukan bagi mendepani suasana yang penuh dengan isu perkauman, ketika ini. Orang ramai juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik sepanjang karnival ini antaranya pakej umrah dan motosikal Yamaha 15ZR dengan mengumpulkan cop di gerai ditetapkan.

Gerai daripada agensi hal ehwal Islam dengan pelbagai perkhidmatan kepada orang ramai juga disediakan. Untuk maklumat lanjut boleh layari Facebook Karnival Rahmah 2019 atau Instagram Karnival Rahmah 2019,” katanya.

Leave a Reply