Input your search keywords and press Enter.

Keputusan Menunaikan Haji Diketahui Ramadan Ini – Zulkifli

M Update, 11/03/2021 – Keputusan muktamad mengenai pelaksanaan ibadah haji tahun ini dijangka diketahui sekitar bulan Ramadan setelah mendapat maklum balas rasmi daripada kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jika dibenarkan pelaksanaan rukun Islam kelima itu, pemilihan jemaah Malaysia kelak dibuat berdasarkan senarai tahun lepas. Menurut beliau, tambahan 10,000 kuota haji itu menjadikan jumlah jemaah Malaysia sebanyak 40,000, sekiranya ibadah itu dibuka semula.

“Sebarang keputusan bergantung kepada keadaan semasa pandemik COVID-19, kalau landai kesnya dan baik, Insya-Allah saya rasa tiada masalah.

Biasanya kerajaan Arab Saudi akan beri pengumuman secara rasmi. Kita akan tunggu, yang saya yakin sekitar Ramadan ini mungkin dapatlah (keputusan), sebab itu waktu yang amat singkat untuk buat persediaan,” kata Zulkifli.

Ditanya mengenai pemilihan dan kuota jemaah haji, Zulkifli berkata masih terlalu awal untuk diletakkan sebarang sasaran jumlah bakal haji yang dapat menunaikan rukun Islam kelima tersebut.

“Pemilihan bakal haji adalah mengikut syarat yang telah ditetapkan TH sebelum ini seperti perlu disuntik vaksin. Untuk jumlahnya, kita belum ada angka rasmi lagi. TH akan lihat pada kemampuan dan kesihatan bakal haji termasuk daripada kalangan warga emas,” jelasnya.

Sumber : Astro Awani