M Update, 11/03/2021 – Seramai 223,923 individu yang kebanyakannya adalah petugas barisan hadapan, sudah menerima dos pertama vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Angka penerima setakat semalam itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, menerusi ciapan dalam Twitter beliau berdasarkan maklumat rasmi daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).
Daripada jumlah itu, Sarawak merekodkan bilangan penerima tertinggi dengan 28,194 individu, disusuli Selangor (24,211) dan Kuala Lumpur (20,510). Selain itu, Sabah (18,670), Johor (17,476), Perak (17,450), Pahang (17,434), Kelantan (14,982) dan Kedah (14,200). Seterusnya, Terengganu (13,070), Negeri Sembilan (10,741), Pulau Pinang (9,811), Melaka (6,258), Perlis (5,241), Putrajaya (3,337) dan Labuan (2,338).
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa, bermula 24 Februari lalu dengan kumpulan petugas barisan hadapan. Ia kemudian akan disusuli kumpulan berisiko tinggi dan rakyat berusia 18 tahun ke atas. Usaha itu bagi memastikan antara 70 hingga 80 peratus rakyat di negara ini menerima vaksin menjelang Februari tahun hadapan, sekali gus membentuk imuniti kelompok bagi mengekang penularan COVID-19. – BH Online