Input your search keywords and press Enter.

73 Rumah Atas Air Di Pulau Gaya Terbakar

M Update, 12/03/2021 – Sebanyak 73 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini, malam tadi, menyebabkan lebih 200 penghuni hilang tempat tinggal.

Kejadian kira-kira 8 malam itu bermula dari sebuah rumah dan api merebak dengan cepat berikutan kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau mangsa cedera dalam kejadian itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi berkata, sebaik menerima panggilan jam 8.23 malam, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas dan Penampang dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menggunakan bot. Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, api marak dan operasi memadam kebakaran terus dijalankan. Api berjaya dikawal 10.16 malam tadi. Bagaimanapun setakat ini usaha memadam sisa api masih giat dijalankan.

Sementara itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip berkata, tiga pusat penempatan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa-mangsa yang terjejas. Katanya, antara PPS yang dibuka terdapat di Sembulan, Likas dan juga Damai.

Terdahulu, tular beberapa gambar serta video dikongsi netizen di laman sosial keadaan api yang marak itu dapat disaksikan dari pinggir pantai Kota Kinabalu. – HM Online