Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Berupaya Jadi Negara Berpendapatan Tinggi Seawal 2024

M Update, 16/03/2021 – Malaysia dijangka beralih kepada ekonomi berpendapatan tinggi seawal 2024, disokong trajektori pembangunan transformasi ekonomi yang dilaksanakan sejak beberapa dekad lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata menurut Bank Dunia, bagi mencapai sasaran itu, Malaysia perlu melaksanakan beberapa langkah bagi meningkatkan ekonomi menjadi negara berpendapatan tinggi dan mengekalkan pertumbuhan saksama menjangkaui pandemik COVID-19. Katanya, kerajaan komited untuk terus menilai kualiti, keterangkuman dan kesinambungan pertumbuhan Malaysia pada masa depan bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Malaysia membina asas yang baik tetapi kami juga menyedari keperluan untuk menyuntik lebih banyak pelaburan dalam pembangunan modal insan berkualiti tinggi bagi membantu mewujudkan peluang ekonomi lebih besar. Negara juga perlu melabur dalam pembentukan generasi seterusnya bagi produktiviti tinggi termasuk dasar dan pertumbuhan sektor swasta yang diterajui inovasi.

“Dalam laporan Bank Dunia, Malaysia berkemungkinan beralih kepada ekonomi berpendapatan tinggi antara tahun 2024 hingga 2028. Namun untuk mencapainya, kita perlu menyertai pencapaian ekonomi utama dan maju lain,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Laporan Bank Dunia : Aiming High – Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development secara maya, hari ini.

Menurut Laporan Bank Dunia : Aiming High – Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita Malaysia berada pada AS$11,200, kurang hanya AS$1,335 daripada tahap ambang semasa yang menentukan peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi. Kemajuan ke paras tahap ambang menjadi perlahan susulan kesan daripada COVID-19, namun Malaysia berpeluang melaksanakan reformasi jelas untuk mengekalkan pertumbuhan masa depan.

Tengku Zafrul berkata, inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan juga dilihat mampu memastikan pertumbuhan yang berterusan menerusi strategi ekonomi dalam memanfaatkan peluang ekonomi pasca COVID-19.

“Malaysia juga kembali ke landasan tepat untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam lima tahun akan datang, termasuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) menjelang 2030,” katanya.

Menuju ke hadapan, beliau menjelaskan, Malaysia perlu mewujudkan landasan baharu bagi mencapai pertumbuhan lebih kepada berintensifkan pengetahuan dan pertumbuhan dipacu produktiviti.

“Saya menyedari bahawa rakyat Malaysia tidak hanya mahu menjadikan negara sebagai ekonomi berpendapatan tinggi, malah ia membabitkan pembaharuan bermakna dalam taraf hidup. Dalam hal ini, adalah penting untuk menilai kembali bukan sekadar membabitkan kepantasan pertumbuhan Malaysia, tetapi juga merangkumi kualiti, keterangkuman dan kesinambungan,” katanya.

Sumber : BH Online