Input your search keywords and press Enter.

Strok Haba Punca Kematian Adik Harraz

M Update, 18/03/2021 – Polis mengesahkan kanak-kanak tiga tahun yang meninggal dunia di dalam kereta, Selasa lalu mengalami strok haba akibat cuaca panas yang melampau dan ditinggalkan dalam kereta tanpa ruang pengudaraan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, bedah siasat sudah dilakukan terhadap mangsa, Muhammad Harraz Aryan Mohd Hafizi, di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam dan sampel forensik turut diambil untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Beliau berkata, hasil laporan bedah siasat itu mendapati, terdapat ciri-ciri simptom strok haba pada mangsa namun pihak hospital mengambil beberapa sampel dalam badan mangsa untuk dianalisa di makmal.

“Ketika ditemui pada jam 12.15 tengahari kelmarin, mangsa masih hidup tetapi dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan lemah sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. Siasatan masih diteruskan setakat ini dan polis turut mengambil keterangan dari semua guru di tadika berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Adzli berkata, tempoh reman terhadap Pengetua TADIKA berusia 49 tahun itu akan berakhir esok dan sekiranya bukti siasatan masih belum lengkap, polis akan menahan wanita berkenaan. Bagaimanapun, katanya, jika siasatan lengkap, pihaknya akan membebaskan wanita itu dengan jaminan polis.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kejadian ini mempunyai unsur kecuaian dan tidak membabitkan unsur lain. Kanak-kanak itu ditinggalkan lebih empat jam tanpa ruang pengudaraan dalam kereta berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian itu, Muhammad Harraz dijemput pengetua TADIKA itu di rumahnya di Taman Ria, Sungai Petani jam 7.45 pagi kelmarin ke taman didikan berkenaan. Bagaimanapun, ketika sesi pulang pada jam 12.15 tengahari apabila mangsa disedari tiada dalam kelas dan pengetua terbabit menemui mangsa dalam keadaan terbaring serta tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kereta berkenaan.

Wanita itu kemudiannya bertindak menghubungi ambulans dan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadap mangsa namun mangsa tidak sedarkan diri. Berikutan itu, polis menahan wanita itu dan turut merampas kunci dan sebuah kereta Proton Waja bagi membantu siasatan. Kes siasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. – BH Online