Input your search keywords and press Enter.

Nabila, Emran Kini Sah Bergelar Suami Isteri

M Update, 19/03/2021 – Dengan sekali lafaz, kakak Neelofa, Noor Nabila Mohd Noor, 36, sah bergelar isteri Engku Emran Engku Zainal Abidin, 46, di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, di sini, jam 10.02 pagi ini.

Pasangan ini dinikahkan berwalikan adik Nabila, Mohamed Aqief Mohd Noor. Noor Nabila menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin. Bagaimanapun, tiada dulang hantaran diberi dan dibalas pasangan pengantin berkenaan. Jumlah wang hantaran juga tidak dimaklumkan.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan serba ringkas dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Majlis hanya dihadiri ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan sahaja. Kami buat apa yang wajib, selain bersederhana. Apa yang penting, kami mahukan keberkatan. Kami tidak merancang mengadakan majlis lain selepas ini,” katanya

Nabila turut menafikan desas-desus mengikat tali pertunangan seperti didakwa sebelum ini.

“Kami tidak bertunang seperti yang disangka. Saya mula mengenali Engku Emran sekitar Ogos, tahun lalu. Waktu itu, kami hanya berkawan. Kami mula rapat sekitar hujung tahun lalu. Malah, kami berkongsi minat sama dalam sukan berbasikal,” katanya.

Mengenali suami, Nabila menyifatkan hubungan antara mereka mekar tanpa diduga.

“Kami pernah melalui pengalaman berumah tangga, sebelum ini. Jadi, kami agak matang dan tahu apa yang diinginkan sebagai pasangan hidup. “Insya-Allah, kami akan buat yang terbaik dan sentiasa ada untuk satu sama lain,” katanya.

Terdahulu, Nabila dan Engku Emran mencetuskan tanda tanya apabila gosip menjalinkan hubungan cinta tersebar hingga mendapat liputan meluas daripada media Indonesia. Pasangan berkenaan berkongsi gambar aktiviti berbasikal bersama teman lain menerusi laman sosial. Lebih sensasi, foto Engku Emran menyertai majlis usrah bersama Ustaz Wadi di kediaman Nabila, tular, baru-baru ini.

Nabila berpisah dengan pelakon Sharnaaz Ahmad, Julai tahun lalu selepas hampir setahun berdepan kemelut rumah tangga. Mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Jebat Jayden. Engku Emran pula bercerai dengan Laudya Cynthia Bella, Julai tahun lalu, selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

Sebelum ini, Engku Emran pernah mendirikan rumah tangga bersama aktres, Erra Fazira dan dikurniakan cahaya mata, Engku Aleesya Engku Emran. – BH Online