Input your search keywords and press Enter.

Vaksin COVID-19 : Bantuan Khas Hingga RM500,000 Bagi Kesan Sampingan Serius, Hilang Upaya Kekal

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba

M Update, 22/03/2021 – Kerajaan meluluskan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19 untuk warga tempatan dan asing yang mendapat kesan sampingan serius selepas menerima vaksin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk bantuan khas berkenaan. Menurutnya, usaha itu adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat selain meningkatkan keyakinan untuk rakyat menerima vaksin.

“Kerajaan meluluskan bantuan khas tersebut seperti berikut; iaitu RM50,000 untuk mereka yang menerima kesan serius yang memerlukan rawatan berpanjangan di hospital. Bantuan kewangan RM500,000 pula untuk hilang upaya kekal atau kematian. Kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi tujuan bayaran khas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini pada Isnin. Tambah beliau, sejajar dengan bantuan tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menubuhkan tiga jawatankuasa bagi menilai semua aspek berhubung kesan sampingan tersebut.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, sepanjang proses vaksinasi yang bermula pada 24 Februari lepas, terdapat 20 kesan sampingan yang dikesan berlaku kepada penerima vaksin.

“Ketika dalam pemerhatian, selepas mereka kenal pasti kes-kes yang merasakan kesan berterusan, mereka dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.”

Antaranya rasa tak selesa di dada, rasa sempit di dada, ada yang semput, semua dibawa ke hospital dan dirawat.”Semuanya telah menerima rawatan dan discaj dan tunggu dos kedua. Cuma dos kedua, mereka akan terima di hospital, bukan di tempat mereka terima sebelum ini,” ujarnya. – Astro Awani