Input your search keywords and press Enter.

Tempoh Pembaharuan Lesen Memandu Dilanjutkan Sehingga 31 Mei

M Update, 26/03/2021 – Kerajaan melanjutkan lagi tempoh pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) sehingga 31 Mei ini, dengan syarat insurans kenderaan masih berkuat kuasa.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan itu dibuat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Pemandu perlu menunjukkan salinan perlindungan insurans dan sijil perlindungan sah ketika pemeriksaan polis.

“Jika LMM atau LKM yang tamat tempoh bagi pengecualian pertama (1 Februari hingga 31 Mac 2021) hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari seperti yang dinyatakan, iaitu bermula 1 April sehingga 31 Mei 2021.

“Sekiranya gagal melakukannya, ia akan menjadi satu kesalahan dan tindakan boleh dikenakan,” katanya dalam hantaran yang dikongsi di Facebook beliau pada Jumaat.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan tarikh pembaharuan lesen masing-masing sehingga 1 April ini kepada mereka yang tidak dapat berbuat demikian pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak berlaku kesesakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 dapat berjalan dengan baik.

Pun begitu, beliau memaklumkan pengecualian itu tidak diberikan kepada pemilik kenderaan perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional (GDL dan PSV) kerana perkhidmatan pembaharuan yang berkaitan mereka dibenarkan di bawah jadual perkhidmatan perlu. Pembaharuan untuk perkhidmatan ini boleh dilakukan di semua kaunter atau pejabat JPJ, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh ini.

Pada masa yang sama, semua Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) beroperasi tujuan menyediakan perkhidmatan berkaitan pembaharuan ini. – Astro Awani