Input your search keywords and press Enter.

Vaksin COVID-19: 2 Juta Penduduk Luar Bandar Sudah Daftar Sebagai Penerima

M Update, 01/04/2021 – Kira-kira dua juta penduduk di kawasan luar bandar telah mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Bagaimanapun beliau berkata, jumlah itu hanya mewakili satu pertiga daripada penduduk luar bandar dan pihaknya sedang berusaha memastikan baki dua pertiga lagi penduduk yang layak, mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin.

“Sebanyak 191 Pusat Komuniti Desa di seluruh negara kini berperanan membantu penduduk di luar bandar mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19. Senarai nama yang didaftarkan itu kami akan hantar kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan seterusnya.

“Kami telah minta agensi-agensi di bawah kementerian seperti Risda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah), Felcra (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan) dan Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat), untuk membantu penduduk luar bandar mendaftar, kerana kami faham ada dalam kalangan mereka mengalami masalah seperti ketiadaan gajet atau internet untuk mendaftar melalui MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), di Balai Orang Ramai Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini hari ini.

Dalam pada itu Abdul Rahman turut menyeru pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turun ke kawasan luar bandar, bagi bersama-sama membantu kerajaan mendapatkan lebih ramai penduduk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19. – BH Online