M Update. 06/04/2021 – Buat julung kalinya, seramai 4,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit secara langsung sebagai petugas barisan hadapan dalam Operasi Penawar dan Operasi Benteng bagi mengekang pandemik COVID-19, menerima Bantuan Musaadah berjumlah RM800,000.
Markas ATM Bahagian Hal Ehwal Awam dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bantuan itu diberikan untuk membantu warga ATM yang terjejas dengan pandemik itu, sekali gus membolehkan mereka terus fokus dalam menjaga keselamatan negara.
“Bantuan berupa wang tunai RM400,000 dan barangan keperluan harian bernilai RM400,000 diberikan dengan objektif untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh warga ATM termasuk keluarga.
“Selain itu, ia juga sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan kerajaan serta organisasi ATM dalam memelihara aspek kebajikan atas pengorbanan yang dicurahkan mereka. Setiap keluarga yang layak akan menerima RM100 serta barang keperluan bernilai RM100,” menurut kenyataan itu.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang di Wisma Pertahanan semalam disaksikan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sementara itu Zulkifli berkata beliau akan melibatkan lebih banyak agensi seperti Yayasan Wakaf, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk mengumpul dana bagi membantu warga ATM.– BERNAMA