Input your search keywords and press Enter.

Sultan Perak Perkenan Ringankan Hukuman Seorang Banduan

M Update, 08/04/2021 – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, memberi perkenan meringankan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat yang sedang dijalani seorang banduan di negeri ini, kepada penjara seumur hidup.

Setiausaha Lembaga Pengampunan negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, berkata baginda menitahkan hukuman itu diringankan ketika mempengerusikan Persidangan Lembaga Pengampunan Perak Bilangan 1/2021, kelmarin.

“Sembilan rayuan dipersembahkan untuk pertimbangan baginda.

“Selepas mempertimbangkan laporan daripada Jabatan Penjara Malaysia, ulasan Peguam Negara serta pandangan dipersembahkan ahli Lembaga Pengampunan, baginda berpuas hati bahawa hukuman yang dilalui oleh seorang banduan telah memberi pengajaran berguna kepada banduan itu untuk berubah dan seterusnya berkelakuan baik.

“Baginda dengan itu menitahkan seorang banduan yang sedang menjalani hukuman pemenjaraan sepanjang hayat, diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup berkuat kuasa Selasa lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, baginda juga menitahkan nasihat bahawa sesuatu hukuman dijatuhkan adalah bertujuan memberi pengajaran kepada masyarakat agar undang-undang negara didaulatkan.

Pengampunan atau meringankan sesuatu hukuman diputuskan oleh mahkamah, akan hanya dipertimbangkan apabila seseorang banduan menunjukkan sifat insaf, sedar dan menyesal akan kesalahan yang dilakukan. Selain itu, terbukti berkelakuan baik ketika berada dalam tahanan dan menunjukkan azam serta berikrar untuk memulakan penghidupan baharu, lalu memohon budi bicara baginda untuk dikurniakan keampunan. – BH Online