Input your search keywords and press Enter.

Bekalan Vaksin Melebihi Individu Berdaftar

M Update, 13/04/2021 – Bekalan vaksin COVID-19 negara dijangka mula melebihi jumlah pendaftaran pada Jun ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata dengan bekalan terbabit, proses pemberian vaksin akan selesai menjelang hujung tahun ini.

“Kami menjangka bekalan akan mula melebihi pendaftaran pada Jun ini. (Pemberian vaksin) pasti selesai sebelum akhir tahun. “Ini bermakna, kadar vaksinasi akan meningkat dengan cepat,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut memuat naik graf jadual penghantaran vaksin, jumlah pendaftaran, sasaran vaksinasi. Jumlah penghantaran vaksin ketika ini masih rendah disebabkan tindakan negara maju yang membolot bekalan berkenaan.

“Penghantaran terkini (vaksin) masih rendah. Ini disebabkan tindakan negara maju membolot bekalan yang dikecam oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Semalam, Khairy mengecam tindakan negara maju yang membolot vaksin COVID-19 sehingga menyebabkan bekalan untuk negara kurang membangun menjadi terhad. Situasi zalim dan tidak adil oleh negara maju itu mengingatkannya kepada filem Titanic.

Amnesty International baru-baru ini dalam laporan tahunannya mengecam negara kaya yang ‘hampir memonopoli’ bekalan vaksin COVID-19. Malaysia mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 daripada lima pengeluar termasuk dari China dan Russia, bagi memvaksin lebih 80 peratus penduduk dalam negara dengan anggaran kos RM2.05 bilion. – BH Online