Input your search keywords and press Enter.

KKM Cadang Rentas Negeri Sambut Hari Raya Aidilfitri Ditangguh

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba

M Update, 15/04/2021 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan aktiviti rentas negeri untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri ditangguhkan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ia kerana penularan wabak COVID-19 masih berada di tahap membimbangkan.

“Banyak pihak merayu kerajaan untuk membenarkan rentas negeri untuk perayaan Hari Raya Aidilfitri. “KKM mencadangkan rentas negeri ditangguhkan.“Ia berikutan terdapat varian baharu dalam komuniti dan program imunisasi masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkat demikian pada sidang media selepas melancarkan buku “Malaysia Health Sector Response To COVID-19 Pandemic – Perspectives From The Field” di Pejabat Menteri Kesihatan pada Khamis.

Selain itu, beliau berkata, bazar Ramadan juga akan ditutup jika terdapat kluster jangkitan dipercayai daripada aktiviti bazar.

Pada Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata KKM perlu membuat pengumuman lebih awal berhubung rentas negeri sempena perayaan Aidilfitri ini.

“Ia bukan kuasa kita…kita lihat apa yang berlaku dulu apabila kerajaan membenarkan dan rentas negeri dibuka, terdapat 31 kluster balik kampung, sebab itu KKM perlu berhati-hati kali ini.

Apabila mereka (KKM) membuat penilaian risiko, mereka tahu sekiranya buka, apa risikonya atau kesannya. Jadi kita tunggu daripada KKM sama ada boleh atau tidak rentas negeri sempena Aidilfitri nanti.