M Update, 19/04/2021 – Umat Islam dinasihatkan memilih premis memiliki sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau jabatan agama Islam negeri (JAIN), ketika berbuka puasa di luar seperti di hotel dan restoran.
Unit Komunikasi Korporat JAKIM dalam satu kenyataan media, hari ini, menjelaskan bahawa berbuka puasa juga adalah ibadah serta perlu dilaksanakan dengan sempurna, termasuk memilih makanan diyakini halal. Justeru, katanya, umat Islam boleh meneliti tiga perkara utama bagi mengetahui sama ada sesebuah premis makanan itu memiliki pengesahan halal.
Menurut kenyataan itu, ia termasuk memastikan premis terbabit mempamerkan logo halal Malaysia di hadapan pintunya.
“Pengunjung juga perlu memastikan premis itu mempamerkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang asal dan masih sah tempoh, dengan alamat premis mesti sama seperti yang dinyatakan dalam sijil serta tempoh sijil masih sah. Selain itu, maklumat halal premis boleh disemak melalui direktori halal Malaysia: www.halal.gov.my atau aplikasi telefon pintar Smart Halal.
Premis yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia tidak akan dipaparkan dalam direktori itu,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, umat Islam dinasihatkan membuat semakan dan mendapatkan kepastian sama ada sesebuah premis itu memiliki ketiga-tiga ciri berkenaan, jika pemilik atau pengusahanya mendakwa sudah memperoleh pengesahan halal. Jika tiada, katanya, status pengesahan halal premis itu masih diragui.
JAKIM sekali gus menyarankan umat Islam supaya tidak memilih premis makanan yang diragui kehalalan dan kebersihannya, bagi memastikan ibadah berbuka puasa atau iftar mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. – BH Online