Input your search keywords and press Enter.

Vaksin: Rakyat Terima Baik Usaha Kerajaan

“Jangan takut, macam digigit semut gatal je…”

Minggu ini bermulalah program vaksin untuk fasa kedua yang melibatkan warga emas dan golongan yang berisiko. Di setiap daerah di seluruh pelusuk negeri kita dapat melihat usaha kerajaan dalam menyusun fasiliti dan pusat-pusat vaksinasi setanding negara maju. Pusat Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK ini mempunyai kemudahan yang amat dibanggakan selaras dengan perangkaan kerajaan untuk memastikan keselesaan dan keyakinan rakyat dengan program vaksinasi ini.

Penerimaan dari rakyat juga ternyata sangat bagus apabila kita dapat melihat gambar-gambar yang tular di media sosial yang memaparkan barisan rakyat terutamanya dari golongan warga emas yang diberi layanan kelas pertama untuk menerima vaksin COVID-19. Semua penerima vaksin tidak perlu beratur di bawah terik matahari sebaliknya hanya perlu duduk di kerusi-kerusi yang disediakan oleh kakitangan KKM di pusat-pusat vaksin ini sebelum dibawa berjumpa dengan petugas kesihatan untuk menerima suntikan dos pertama.

Harian Metro telah menjalankan tinjauan di PICK Klebang untuk menemubual beberapa penerima vaksin yang terdiri daripada warga emas negara. Antaranya adalah Puan Wook Abdul Rahman yang telah memberikan reaksi yang bakal memalukan lelaki-lelaki sado yang takut dengan vaksin ini.

“Tak sakit pun, rasa macam digigit semut gatal je…,” katanya selepas menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 peringkat negeri Terengganu, hari ini.Warga emas berusia 84 tahun dari Kampung Bukit, di sini, antara 192 golongan berisiko yang menerima suntikan vaksin berkenaan pada program dilaksanakan di Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu.

Puan Wook ditemani menantu, Arbaiah Mohamed, 71, bersetuju bahawa golongan berisiko dan warga emas tidak perlu bimbang untuk mendapatkan vaksin berkenaan.Katanya, pengambilan vaksin penting sebagai langkah mencegah daripada penularan wabak Covid-19 daripada terus merebak.

“Jangan takut, tak ada rasa apa-apa pun, macam biasa,” kata beliau lagi.

Puan Thaviee @ Devi Ramiah, 72, dari Jalan Air Jernih, pula berkata, pengambilan vaksin bagi golongan warga emas penting kerana golongan terbabit berisiko tinggi dijangkiti wabak berkenaan. Beliau gembira apabila menjadi penerima terawal vaksin berkenaan menerusi Program PICK Fasa 2 kerana menyedari pengambilan vaksin sangat mustahak sebagai pelindung diri.

“Golongan warga emas berisiko tinggi dijangkiti wabak ini dan saya pula penghidap kencing manis, jadi saya sangat gembira terpilih awal sebagai penerima.

“Rakyat Malaysia terutama warga emas dan mereka yang menghidap penyakit seperti kencing manis, jantung atau apa juga penyakit yang belum mendaftar sebagai penerima disarankan supaya membuat pendaftaran bagi membolehkan diberi suntikan berkenaan.

Dengan review-review dari warga emas teras masyarakat ini dapatlah kita simpulkan bahawa rakyat yang lain tidak perlu was-was lagi dengan program imunisasi negara ni. Malu lah sikit kita yang sihat tubuh badan dan perut ke depan ni takut nak dicucuk vaksin dan masih belum register lagi di MySejahtera. Tengok warga emas rilek je tersenyum girang selepas menerima dos pertama, apa lagi alasan anda semua untuk tidak mendaftar dengan program ini?

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update