Input your search keywords and press Enter.

Hanya 17 Masjid Dibenarkan Solat Tarawih, Jumaat Di Kelantan

M Update, 21/04/2021 – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan solat sunat tarawih dan Jumaat serta fardhu hanya dibenarkan di 17 masjid bandar dan jajahan di Kelantan, susulan peningkatan kes COVID-19, berkuatkuasa mulai hari ini.

Kesemua masjid berkenaan adalah Masjid Muhammadi Kota Bharu; Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian; Masjid Al-Ismaili Bandar Baru Pasir Pekan; Masjid Sultan Muhammad II, Telipot; Masjid Sultan Mansor, Kampung Sireh; Masjid D’raja Long Yunus, Langgar dan Masjid Bandar As-Salam, Pengkalan Chepa.

Selain itu, Majlis Ismaili, Tumpat; Masjid Mahmoodi, Bachok; Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh; Masjid Sultan Yahya Petra, Machang; Masjid Tengku Muhammad Faris Petra, Kuala Krai; Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang; Masjid Sultan Muhammad 1, Jeli; Masjid Sultan Muhammad III, Pasir Mas; Masjid Ismail Petra, Tanah Merah dan Masjid Bandar An-Nur, Kuala Krai.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata bagi masjid mukim, surau dan musolla di seluruh negeri Kelantan ditutup sehingga suatu tarikh yang dimaklumkan kelak. Katanya, pelaksanaan solat Jumaat, fardhu dan tarawih di masjid negeri, jajahan dan bandar adalah dibenarkan 50 peratus daripada kapasiti masjid selepas penjarakan.

“Aktiviti lain termasuk tazkirah, tadarus al-Quran, iktikaf dan lain-lain adalah tidak dibenarkan. Jemaah hendaklah berada dalam saf dengan penjarakan dua meter. Bagi semua masjid mukim, surau dan musolla ditutup untuk semua aktiviti.

Oleh itu, MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini,” katanya menerusi kenyataan media. Tindakan sewajarnya akan diambil atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini. Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah S.W.T pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua.

Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musolla.