M Update, 22/04/2021 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan rondaan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah pada sambutan Hari Raya Aidilfitri ini sebagaimana yang dilaksanakan tahun lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, rondaan itu dilakukan bagi memastikan tiada mana-mana pihak ataupun individu yang dikesan merentas negeri tanpa kebenaran. Menurut beliau, tindakan itu juga sebagai langkah memastikan kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 berada pada tahap baik serta mengurangkan risiko jangkitan wabak pada musim perayaan.
Katanya, pematuhan SOP ada kalanya diingkari segelintir pihak dengan mengambil peluang merentas negeri ketika cuaca yang tidak mengizinkan pihak berkuasa melakukan kawalan dan pemeriksaan.
“Kadang-kadang bukannya disebabkan surat rentas negeri dan sebagainya, mereka yang terlepas (pemeriksaan) oleh kerana hujan lebat, anggota kita tidak dapat bertugas waktu itu (hujan) kerana membahayakan mereka, jadi mereka berlindung di pondok-pondok (keselamatan).
“Ketika itu (hujan), mereka (orang ramai) ambil kesempatan untuk melepas pemeriksaan,” kata beliau kepada pemberita.
Berikutan itu, Abd Rahim berkata, PDRM akan menggunakan strategi yang sama seperti tahun lalu dengan mengadakan pemeriksaan dari rumah ke rumah.
Kalau kita tengok banyak sangat kereta dekat sesebuah rumah, maka anggota kita akan mengadakan pemeriksaan, ada surat kebenaran untuk balik atau sebagainya. – Astro Awani