Input your search keywords and press Enter.

Masjid Tersilap Laung Azan Maghrib Awal, Puasa Kariah Terbatal

M Update. 21/04/2021 – Kariah Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, dekat sini, perlu menggantikan puasa yang terbatal berikutan masjid itu tersilap melaungkan azan maghrib tiga minit lebih awal daripada waktu sebenar, kelmarin.

Nazir Masjid Al-Khairiyah, Wan Nawawi Wan Dagang, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kesilapan itu berlaku akibat masalah teknikal pada paparan digital waktu azan di masjid berkenaan.

“Assalamualaikum, saya mewakili seluruh pentadbir Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, memohon maaf atas kesilapan kami melaungkan azan maghrib tiga minit sebelum masuk waktu sebenar pada 19 April lalu disebabkan masalah teknikal pada paparan digital waktu azan di masjid.

“Jemaah yang bergantung semata-mata pada laungan azan maghrib dari Masjid Al-Khairiyah untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa tuan dan puan adalah terbatal pada hari itu serta perlu diganti/diqada,” katanya.

Malah, kenyataan berkenaan turut menyebut pandangan jumhur ulama dalam kalangan Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie serta ramai ulama Hanbali yang menyatakan puasa itu batal dan wajib diqada.

“Jemaah boleh mengikuti syarah hukum melalui Bayan Linnas Siri Ke-97 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 18 Jun 2017. Sekali lagi kami mohon maaf dan insya-Allah perkara sebegini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Berdasarkan penulisan dalam siri Bayan Linnas terbabit oleh Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang juga Mufti Wilayah Persekutuan ketika itu [kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)], menyatakan bahawa isu tersalah azan maghrib sebelum masuk waktu adalah lebih cenderung kepada batal puasa.

Justeru, wajib bagi mereka yang tersalah berbuka awal sedangkan matahari belum tenggelam, hendaklah qada puasa itu berdasarkan beberapa hujah.

“Umum nas al-Quran Surah al-Baqarah Ayat 187, kaedah fiqah yang menyebut ‘asal bagi sesuatu perkara ditentukan dengan waktu yang paling hampir’, kaedah fiqh yang menyatakan ‘tidak diiktibarkan dengan zhan atau sangkaan yang nyata salahnya’ serta penyataan Imam Malik dalam al-Muwatta’, 1/303.

“Kami tegaskan di sini bahawa dalam era moden ini, boleh dikatakan tiada yang tidak mempunyai jam, takwim mahupun aplikasi dalam telefon pintar yang menyatakan waktu berbuka. Maka, sewajarnya kita lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru berbuka puasa sebelum disahkan dengan yakin,” katanya.

Zulkifli turut menjelaskan, azan di radio atau televisyen dilihat sebagai usaha sangat baik tetapi perlu lebih teliti serta cermat bagi mengelakkan kejadian seumpama itu. – BH Online