Input your search keywords and press Enter.

Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Tertinggi Di Kelantan

Gambar Sekadar Hiasan

M Update, 23/04/2021 – Kelantan merekodkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R naught (Rt) tertinggi di seluruh negara semalam pada kadar 1.53 berbanding kadar kebangsaan 1.16.

Kementerian Kesihatan menerusi infografik disiarkan di Twitter rasmi kementerian memaklumkan negeri itu merekodkan kes baharu tertinggi semalam dengan 663 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Menerusi hantaran sama, antara negeri yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan tertinggi termasuk Kuala Lumpur dengan 1.29, diikuti Melaka 1.23 dan Kedah 1.18. Sementara itu, nilai Ro/Rt Kebangsaan pula naik sedikit kepada 1.16 daripada 1.15 sebelum ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin dilaporkan, berkata peningkatan ketara kes baharu negeri itu telah menyebabkan fasiliti hospital dan Pusat Kuarantin Risiko Rendah (PKRC) COVID-19 penuh dan petugas kesihatan tidak mencukupi.

Semua jajahan di Kelantan kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 29 April susulan peningkatan ketara kes COVID-19 di negeri ini. – Bernama