Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Lanjutkan Pemberian Internet 1GB Percuma Hingga 31 Julai

M Update, 30/04/2021 – Kerajaan melanjutkan pemberian 1 gigabait (GB) data harian percuma kepada semua pelanggan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama hingga 1 Julai ini.

Menurut Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pemberian data itu telah dilanjutkan beberapa kali dan sepatutnua tamat pada 30 April ini. Antara syarikat terlibat termasuk Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Telekom Malaysia (TM).

Lanjutan terbaharu ini dibuat sebagai sokongan tambahan kepada rakyat, memandangkan situasi pandemik COVID-19 di negara ini masih belum stabil. Lebih-lebih lagi untuk membantu pelajar-pelajar sekolah beralih semula kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas Aidilfitri seperti yang telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini.

“Kuota harian 1GB percuma adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada dan boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video serta menguruskan bahan-bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Bagaimanapun, kenyataan itu menambah, data itu tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video, penstriman muzik dan permainan dalam talian.

MCMC berharap lanjutan pemberian 1GB data percuma harian hingga 31 Julai 2021 dan sokongan lain yang disediakan akan sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, pekerjaan dan lain-lain.

Kerajaan akan terus menggerakkan inisiatif-inisiatif seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pelan Tindakan MyDIGITAL untuk memastikan agenda pembangunan yang berteraskan digitalisasi dilaksanakan secara inklusif tanpa ada golongan yang terpinggir,” ujarnya. – Astro Awani