M Update, 03/05/2021 – Semua penerbangan Malaysia Airlines dari India yang menjadi viral di media sosial adalah penerbangan kargo.
Perkara itu disahkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menjelaskan, semua penerbangan penumpang dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia selari dengan arahan kerajaan selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkuatkuasa pada 28 April lalu.
Katanya, hanya penerbangan kargo yang akan dibenarkan pada masa ini.
“Penerbangan pesawat penumpang juga kosong, dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier.
“Mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukanlah satu yang baharu (P2C penumpang-ke-kargo) dan dipraktikkan Malaysia Airlines Berhad (MAB ) selama berbulan-bulan sebelum ini susulan berlakunya pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau juga kesal dengan dengan penyebara maklumat yang salah mengenai status penerbangan tersebut. Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan begitu prihatin dan peka dengan situasi negara di seluruh dunia dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan.