Input your search keywords and press Enter.

Kelantan Larang Kenduri Sempena Aidilfitri

M Update, 04/05/21 – Kerajaan Kelantan mengingatkan penduduk negeri ini supaya tidak mengadakan sebarang kenduri, termasuk majlis perkahwinan pada Aidilfitri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, berkata sebarang majlis keraian tidak dibenarkan sama sekali sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Beliau berkata, dalam keadaan penularan kes COVID-19 yang semakin membimbangkan di Kelantan ketika ini, kerajaan negeri berharap rakyat memberi kerjasama penuh dalam memutuskan rangkaian COVID-19.

“Saya ingatkan kepada semua bahawa sepanjang tempoh PKP, tiada sebarang majlis dibenarkan termasuk majlis perkahwinan. Mereka yang ingkar akan dikenakan tindakan sewajarnya. Saya mohon patuhilah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Bila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan undang-undang, rakyat marah namun pada masa sama mereka melanggar SOP,” katanya ketika dihubungi.

Dr Izani berkata, kepatuhan SOP di Kelantan setakat ini masih lemah dari segi penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.

“Apabila saya membuat tinjauan di gerai yang berniaga di tepi jalan, saya sedih kerana melihat ramai lagi yang memandang ringan dengan penjarakan sosial dan pelitup muka. Tidak kira sama ada pengunjung atau peniaga, kebanyakan mereka hanya meletakkan pelitup muka di dagu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, peningkatan kes COVID-19 di Kelantan sejak beberapa minggu lalu, menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengambil pendekatan membuka hospital medan selain menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Hospital medan akan dibuka di tapak Padang Perdana di sini, selain satu lagi PKRC iaitu Kelantan Trade Centre (KTC) yang mampu memuatkan 1,000 pesakit dijangka beroperasi dalam masa terdekat. Pada masa sama, Hospital Machang juga akan dijadikan hospital COVID-19 sebagaimana Hospital Tumpat, bagi menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah.

Sehingga kini, fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) di Kelantan sama ada di hospital serta PKRC sudah hampir penuh dan dalam keadaan kritikal. – BH Online