Input your search keywords and press Enter.

COVID-19: 4 Lagi Negara Dikenakan Sekatan Perjalanan Ke Malaysia

M Update, 06/05/2021 – Kerajaan memutuskan untuk menambah sekatan perjalanan membabitkan pengembara dari empat lagi negara, iaitu Bangladesh, Pakistan, Nepal dan Sri Lanka, daripada memasuki Malaysia.

Ia adalah penambahan kepada langkah sekatan kemasukan ke Malaysia terhadap warga India yang diumumkan pada 27 April lalu, bagi mengekang penularan varian baharu COVID-19 dari negara itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sekatan perjalanan bagi empat negara jiran India itu membabitkan semua kategori pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang, Pelawat Perniagaan Antarabangsa (Business Travellers) dan Lawatan Sosial.

“Sebelum ini, kerajaan telah menyekat kemasukan warga India ke negara kita. Semalam, kerajaan bersetuju untuk menambahkan sekatan ke atas pengembara warga Bangladesh, Pakistan, Nepal dan Sri Lanka daripada memasuki Malaysia.

“Ia membabitkan semua kategori pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang, Pelawat Perniagaan Antarabangsa (Business Travellers) dan Lawatan Sosial,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, pemegang pasport diplomatik dan rasmi dikecualikan. Beliau berkata, pengecualian itu selaras perkara diperuntukkan dalam Konvensyen Vienna Berkenaan Hubungan Diplomatik pada 1961.

Kategori ini dipertimbangkan untuk memasuki Malaysia dengan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada,” katanya.