Input your search keywords and press Enter.

KWSP Tutup Semua Cawangan Seluruh Negara Bermula Esok

M Update, 31/05/2021 – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup pejabat dan kaunter perkhidmatannya di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun ini selaras dengan pelaksanaan fasa pertama sekatan pergerakan penuh.

Sehubungan itu, KWSP berkata semua sesi janji temu yang dibuat melalui saluran Janji Temu Online (JTO) dalam tempoh berkenaan akan dibatalkan.

“Ahli KWSP perlu membuat janji temu semula pada tarikh selepas tempoh sekatan pergerakan penuh berakhir jika ada keperluan untuk hadir di cawangan KWSP.

“Janji temu bagi pengeluaran umur 50, 55, 60 dan hilang upaya akan diberikan keutamaan apabila pejabat dan kaunter perkhidmatan KWSP beroperasi semula. Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka supaya rantaian jangkitan dapat diputuskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi ahli KWSP yang telah memohon pengeluaran i-Sinar dan sedang menunggu pembayaran melalui Arahan Bayaran, cawangan KWSP berkenaan akan menghubungi ahli untuk urusan pengambilan di cawangan yang mereka pilih.

Perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti permohonan pengeluaran perumahan, umur 50, 55 dan 60, ahli hanya boleh melakukannya secara dalam talian melalui i-Akaun,” katanya sambil memaklumkan ahli boleh merujuk senarai perkhidmatan itu secara dalam talian.

Bagaimanapun, KWSP berkata proses pengesahan cap ibu jari bagi melengkapkan transaksi dalam talian hanya boleh dilaksanakan setelah tamat tempoh sekatan pergerakan penuh dan apabila cawangan dibuka semula. – BH Online