Input your search keywords and press Enter.

Anjur Majlis Kenduri Sambut Kelahiran Cucu, 5 Dikompaun

M Update, 01/06/2021 – Lima individu dikompaun RM4,000 seorang selepas didapati berkumpul di majlis kenduri menyambut kelahiran cucu di sebuah rumah di Kampung Sungai Lalang di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lima individu yang dikompaun itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 61 tahun.

Menurutnya, pasukan pemantau Covid-19 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima maklumat awam berhubung majlis kenduri yang diadakan di rumah berkenaan pada 9 malam.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati lima individu terbabit sedang berkumpul di majlis kenduri itu serta tidak mematuhi penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka. Kesemua individu terbabit kemudiannya dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan kompaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, hasil siasatan mendapati kesemua individu terbabit yang menetap di sekitar daerah ini didapati mengadakan kenduri kesyukuran untuk menyambut kelahiran cucu seorang daripada mereka yang dipercayai tuan rumah. Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati kesemua mereka adalah tetamu jemputan yang juga rakan tuan rumah yang diundang ke majlis itu.

Kesemua mereka diterangkan kesalahan dilakukan dan dikeluarkan kompaun sebanyak RM4,000 seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Mereka dikompaun mengikut Perkara 9 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Kesemua individu terbabit diterangkan perlu menjelaskan kompaun yang dikenakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun di keluarkan di Pusat Kesihatan Daerah,” katanya. – HM Online