M Update, 10/06/2021 – Slip keputusan rasmi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 boleh dimuat turun mulai 14 Jun.
Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, calon juga boleh mendapatkan slip peperiksaan dan sijil SPM menerusi dalam talian.
Menurutnya, ia antara pembaharuan yang dibuat pihaknya bagi memudahkan calon menyemak keputusan SPM dan mendapatkan slip peperiksaan SPM tanpa perlu ke sekolah seperti sebelum ini.
Radzi berkata, slip keputusan SPM boleh didapati di pautan myresult1.moe.gov.my dan myresult2.moe.gov.my selain melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Katanya, slip keputusan rasmi pula boleh dimuat turun melalui myresult3.moe.gov.my pada 14 Jun ini, manakala sijil SPM akan diedarkan secara berperingkat mulai 10 Julai depan.
Antara pembaharuan lain adalah percetakan dan pengedaran sijil SPM. Umumnya percetakan dan pengedaran dibuat dalam tempoh enam bulan namun tahun ini ia dibuat dalam tempoh sebulan lebih.
Ini adalah perubahan dan kejayaan yang dilaksanakan dalam tempoh singkat bagi memastikan walaupun menghadapi cabaran besar ketika pandemik Covid-19 tapi kita mengambil ruang ini untuk menambah baik sistem bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti. – HM Online