Input your search keywords and press Enter.

PGA Kelantan Rampas Dadah Lebih RM8j Di Dapur Rumah Kosong

M Update, 09/06/2021 – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 41 kilogram dadah dipercayai syabu dan 720,000 biji pil yaba dengan nilai keseluruhan RM8.67 juta menerusi serbuan di sebuah rumah di Kampung Jeram Perdah, Rantau Panjang, kelmarin.

Serbuan menerusi Op Benteng COVID-19 itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 8 PGA di sebuah rumah kosong pada jam 4.30 petang.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA), Datuk Kasuahdi Ali, berkata pihaknya melakukan intipan selama empat jam sebelum serbuan dilakukan sebaik suspek memasuki rumah terbabit. Katanya, menerusi serbuan itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun.

“Hasil serbuan, kita menemui lapan bungkusan plastik hitam diletakkan di dapur rumah mengandungi 41 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM1.47 juta dan 720,000 biji pil kuda bernilai RM7.2 juta. Bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari negara jiran sebelum dihantar ke sekitar Pantai Timur untuk pil yaba, manakala syabu dihantar untuk pasaran Lembah Klang dan Johor,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.

Mengulas lanjut, Kasuahdi berkata, siasatan lanjut terhadap lelaki berkenaan masih dijalankan sama ada ia berperanan sebagai ‘pengangkut dadah’ atau tauke sindiket.

“Siasatan juga mendapati, kediaman diserbu itu disyaki milik kakak suspek, namun siasatan terperinci masih dijalankan. Jumlah dadah jenis syabu dirampas boleh digunakan 410,000 penagih, manakala pil kuda pula boleh digunakan untuk 144,000 penagih,” katanya.

Kasuahdi berkata, suspek yang mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah ditahan reman seminggu bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kita akui walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sindiket pengedaran dadah masih mengambil peluang dan kita akan perketatkan kawalan sempadan bagi mengekang kegiatan itu,” katanya. – BH Online