Input your search keywords and press Enter.

Elaun Sukarelawan Petugas Kesihatan Dinaikkan RM100 Sehari

M Update, 23/06/2021 – Elaun atau sagu hati untuk sukarelawan kesihatan yang terbabit dalam proses vaksinasi dan pengurusan COVID-19 di negara ini dinaikkan kepada RM100 sehari, mulai bulan ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata seramai 19,000 sukarelawan kesihatan dijangka menerima sagu hati ini dengan implikasi kewangan tambahan berjumlah RM180 juta.

“Hari ini saya mengumumkan kerajaan bersetuju bayaran sagu hati kepada sukarelawan kesihatan ditingkatkan daripada RM50 sehari kepada RM100 sehari. Ia membabitkan sukarelawan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula bulan ini.

“Selain itu, bayaran sagu hati ini turut diperluaskan kepada sukarelawan kesihatan yang bertugas di lapangan, selain dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah (PKRC),” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir, turut mengadakan lawatan rasmi ke PPV Dewan Serbaguna Pagoh, di sini, dan menghabiskan masa kira-kira 30 minit bertanya khabar penerima vaksin membabitkan golongan Orang Asli.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sebelum ini, beliau mengarahkan Kementerian Kewangan mengkaji semula kadar bayaran kepada sukarelawan supaya dapat ditambah jumlahnya dengan bilangan penerima diperluas secepat mungkin. Jumlah keseluruhan peruntukan untuk sagu hati sukarelawan kesihatan adalah RM327 juta iaitu jumlah bayaran sagu hati sebelum ini membabitkan RM147 juta serta elaun baharu yang diluluskan membabitkan RM180 juta.

Kenaikan kadar sagu hati kepada sukarelawan kesihatan ini adalah pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan mereka bertungkus lumus berusaha memastikan rakyat Malaysia dapat menerima suntikan vaksin dengan teratur, cepat serta selamat.

Langkah ini juga membuktikan keseriusan kerajaan meningkatkan kadar vaksinasi di seluruh negara yang kini menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari hari ke hari,” katanya. Muhyiddin berkata, lebih ramai rakyat Malaysia yang divaksinasi, bermakna lebih ramai akan dilindungi daripada jangkitan COVID-19, sekali gus negara akan mencapai imuniti kelompok. – BH Online