M Update, 29/06/2021 – Polis akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan tular video mengajak orang ramai berkumpul di beberapa lokasi Rabu ini.
Polis mengesan sebuah video berdurasi dua minit 40 saat yang disebarkan melalui media sosial, mengajak orang ramai untuk berkumpul di beberapa lokasi pada jam 12 tengah hari Rabu ini.
Menurutnya, polis ingin mengingatkan masyarakat bahawa SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pergerakan dan penganjuran aktiviti sosial masih berkuat kuasa.
“Justeru, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), ke atas mana-mana pihak yang dikesan melanggar SOP MKN dengan menganjur atau menyertai sebarang perhimpunan dalam fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Orang ramai dinasihati untuk tidak menyebarkan apa jua bahan yang boleh mengajak orang ramai melanggar SOP MKN, yang mana boleh mengakibatkan penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan semalam.
Polis juga meminta orang ramai terus mematuhi SOP dan bersama-sama memainkan peranan dalam usaha kerajaan untuk melandaikan keluk penularan wabak Covid-19. – Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Zainal Abidin Kasim.