Input your search keywords and press Enter.

Sultan Muhammad V Mahu Rakyat Terus Patuh SOP, Tidak Rentas Negeri Untuk Berhari Raya

M Update, 16/07/2021 – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah supaya rakyat negeri ini kekal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berjalan dan tidak merentas negeri untuk berhari raya di kampung halaman.

Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Sulit Kanan Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam kenyataan tersebut, baginda bertitah, tidak berjumpa dengan ibu bapa dalam pandemik bukan bermakna tidak menyayangi mereka, sebaliknya ia adalah pilihan yang lebih bertanggungjawab demi melindungi keluarga masing-masing.

“Apabila kita tidak berjumpa dengan mereka, kita tidak mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan virus Covid-19 yang kini mempunyai mutasi yang semakin ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi.

“Dengan kes positif di negeri Kelantan yang masih berada di paras tiga angka, rakyat hendaklah sentiasa berwaspada dan tidak alpa dalam mematuhi garis panduan yang ditetapkan seperti sentiasa memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri supaya tidak dijangkiti virus Covid-19,” titah baginda.

Titah baginda, berikutan kes di dalam negara yang menunjukkan peningkatan yang amat membimbangkan sehingga 13,215 kes pada Khamis, maka status pembukaan masjid-masjid dinasihatkan supaya dikekalkan seperti ketetapan yang sedia ada dan menyeru supaya rakyat mengambil iktibar dari kluster masjid yang berlaku sebelum ini.

Baginda bertitah, di antara ajaran Rasulullah SAW, apabila berhadapan dengan masalah penyakit berjangkit adalah pencegahan, maka menjadi tanggungjawab agama setiap individu dan masyarakat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan mengelakkan diri dari tempat awam termasuk masjid agar orang yang sihat tidak dijangkiti.

“Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud “Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat” iaitu dari hadis riwayat Bukhari dan Muslim,” titah baginda.

Selain itu, baginda turut menyeru supaya seluruh rakyat bersabar dalam menempuhi kesukaran ini dan bersama-sama berganding bahu memainkan peranan masing-masing dalam membantu meringankan beban petugas kesihatan yang sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa pesakit di seluruh negara.

Selain itu, baginda juga mengajak semua rakyat terus berdoa supaya kes yang mencanak naik ini dapat dilandaikan dan imuniti kelompok akan berjaya dicapai secepat mungkin. – Bernama