M Update, 30/07/2021 – Kerajaan Arab Saudi menghantar tiga pesawat berisi bantuan peralatan perubatan ke Malaysia, hari ini dan semalam, dalam usaha membantu negara ini menangani jangkitan COVID-19.
Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau akan menerima sumbangan bantuan itu secara simbolik dan perincian jumlahnya daripada Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan tengah hari nanti.
“Baru lima hari lalu, Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman (Abdulaziz Al Saud) menitahkan supaya bantuan COVID-19 dihantar ke Malaysia. Semalam tiba di tanah air menerusi dua pesawat, manakala sebuah lagi akan tiba hari ini. Tiga pesawat Saudia Airlines dihantar kerajaan Arab Saudi untuk sampaikan sumbangan ini. Alhamdulillah, nanti saya kongsi perincian sumbangan kepada semua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahad lalu, Kerajaan Arab Saudi dilaporkan bersetuju menyalurkan sumbangan kepada Malaysia, bagi membantu negara ini memerangi penularan pandemik COVID-19 yang semakin meruncing. Bantuan daripada Arab Saudi itu antara lain, termasuk sumbangan dalam bentuk satu juta dos vaksin COVID-19 kepada Malaysia.
Hishammuddin dipetik berkata Raja Salman menitahkan Pusat Tindakan Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) supaya segera menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan kepada Malaysia. – BH Online