
M Update, 12/12/2024 – Victor Malaysia tidak menunggu lama untuk mengeluarkan permohonan maaf rasmi berhubung insiden bendera Malaysia yang dipasang secara terbalik di jersi pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia ketika beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF 2024, semalam
Syarikat peralatan sukan badminton terkemuka itu mengemukakan permohonan maaf menerusi kenyataan rasmi di laman sosial rasminya di platform X.
Dalam perlawanan menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen itu, dapat dilihat dengan jelas di kaca televisyen Jalur Gemilang yang ditampal di bahagian kiri baju pemain di ranking lapan dunia itu ditampal dalam keadaan terbalik.
Seperti diketahui, Zii Jia adalah pemain profesional dan bajunya tidak dibekalkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebaliknya oleh penaja Victor.
Victor Malaysia menjelaskan bahawa insiden itu dipandang serius dan tidak berniat untuk menimbulkan kontrovesi serta akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan kesilapan itu tidak berulang.