M Update, 13/08/2021 -Kerajaan sedang mempertimbang mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 dalam usaha mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang Oktober ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang meneliti perkara berkenaan dan keputusan mengenainya akan diumumkan selewat-lewatnya bulan depan sebaik sahaja kajian menyeluruh dijalankan.
“Kita sedang timbang sama ada nak wajib mandatori atau apa, sedang teliti. Tak lama lagi, kita akan umumkan sama ada bulan ini atau bulan depan. Kita akan kaji terlebih dahulu jika kumpulan anti vaksin tidak mahu menerima vaksin kerana berpenyakit atau sengaja tidak percaya dengan vaksin.
“Dengan pelbagai varian yang ada termasuk Delta, kita bimbang ia akan merisikokan orang lain termasuk mereka yang sudah divaksin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Taman Tamadun Islam (TTI) di sini sempena lawatan kerjanya ke Terengganu, hari ini.
Muhyiddin berkata, turut dikaji adalah tindakan undang-undang mengikut peruntukan sedia ada jika suntikan vaksin diwajibkan.
“Jadi, saya merayu kepada mereka yang tidak bersedia (divaksin) bersedia terima, kerana sudah ramai ambil vaksin dan terbukti apabila vaksin diberi, kehidupan rakyat lebih terjamin. Kalau terkena jangkitan, ia tidak begitu berbahaya dan pulih cepat sebab sudah ada antibodi,” katanya.
Mengulas suntikan vaksin kepada remaja berusia 16 dan 17 tahun, Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diputuskan sebaik vaksinasi terhadap rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas selesai. Perdana Menteri turut memaklumkan, sebanyak 590,000 lagi dos vaksin akan dihantar ke Terengganu pada bulan ini untuk meningkatkan peratusan penerima vaksin negeri ini. – BH Online