Input your search keywords and press Enter.

Garis panduan baharu urus kereta terbiar

M-Update,6/3/2019, PUTRAJAYA: Garis panduan pengurusan kenderaan terbiar yang ditinggalkan di kawasan awam akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet bulan hadapan. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sekiranya diluluskan Kabinet, garis panduan itu akan dibawa kepada Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan pada Jun dan dijangka dilaksanakan pada Julai.

Beliau berkata, menerusi garis panduan itu, proses bagi pelupusan kenderaan terbiar itu akan mengambil masa tidak lebih 33 hari.“Kenderaan terbiar yang diletakkan di kawasan awam ini mendatangkan gangguan kepada penduduk setempat, sekarang ini tidak ada garis panduan bagaimana nak uruskan kenderaan ini sehingga mendatangkan masalah kepada PBT.

“Kerja-kerja pengalihan, masuk depoh dan cari pemilik memberi beban kepada PBT sehingga ambil masa hingga setahun untuk lupuskan.“Jadi kita minta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk sediakan satu garis panduan apabila ada aduan kereta terbiar ini proses untuk melupuskannya hanya mengambil masa tidak sampai 33 hari,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pengangkutan Negara di sini hari ini.

Berdasarkan rekod, lebih 60,000 kenderaan terbiar masih berdaftar di seluruh negara.Mengulas lanjut, Loke berkata, setiap kenderaan terbiar akan dibawa PBT ke depoh, sebelum pemeriksaan dilakukan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi mengetahui pemilik kenderaan. Namun dalam kebanyakan kes, kenderaan terbiar ini tiada pemilik, kalau ada kita beri notis 14 hari untuk datang mengambil kenderaan, jika tidak kenderaan akan dibawa ke Jawatankuasa Pelupusan Aset Disita yang ditubuhkan di setiap PBT, sebelum dilupuskan.

“Selepas PBT menolak kos untuk proses pelupusan, lebihan hasil akan dipulangkan kepada pemilik yang diberi dalam tempoh dua tahun untuk menuntutnya, sekiranya gagal ia akan menjadi duit kerajaan,” katanya.Beliau berkata, pengenalan garis panduan berkenaan juga bertujuan bagi mengurangkan implikasi kewangan ditanggung PBT.

“Ada PBT perlu membeli trak tunda berharga RM100,000 malah Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) membelanjakan RM564,000 untuk menyewa depoh simpanan dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membelanjakan RM40,000 untuk pengiklanan notis kereta terbiar,” katanya.

Selain itu, Loke berkata, mesyuarat sama juga bersetuju supaya pengurusan bas henti-henti diserahkan kepada kerajaan negeri, yang lebih tahu mengenai perkhidmatan yang diperlukan di setiap negeri.“Modal pembiayaan bas berkenaan perlu dana sokongan dari kerajaan pusat. Subsidi diberikan semakin meningkat setiap tahun. Kalau tidak ada pendekatan baharu, maka ia tidak mampan dan kerajaan pusat pun tidak mampu sediakan dana.

“Jadi, satu rundingan sedang dilaksanakan untuk mengasingkan kuasa antara kerajaan Persekutuan dan Negeri. Bagaimanapun, kerajaan negeri perlu beri subsidi dan diberi kuasa untuk melantik syarikat pengendali.“Sebelum ini, kerajaan beri semua subsidi, sekarang jika negeri itu kaya, kita kurangkan subsidi dan jika negeri itu miskin, kerajaan akan berikan subsidi lebih,” katanya.

–BHarian

Leave a Reply