Input your search keywords and press Enter.

Tempoh Lanjut Pembaharuan Lesen Tidak Disambung – JPJ

M Update, 17/08/2021 – Tempoh lanjutan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) termasuk Lesen Vokasional (GDL/PSV) tidak akan disambung selepas 30 September ini, kata Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim.

Beliau berkata, tempoh lanjutan yang diberikan sebelum ini adalah mencukupi untuk individu melakukan pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu, selain ia boleh diperbaharui secara dalam talian.

“Selain kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), urusan pembaharuan boleh dibuat di Pos Malaysia Bhd dengan membuat janji temu dan menerusi perkhidmatan dalam talian MyEG Services Sdn Bhd (MyEG) bagi mengelakkan kesesakan di premis.

“Pembaharuan LMM dan LKM digalakkan dibuat secara dalam talian bagi mereka yang cekap internet dan hanya hadir ke premis sekiranya perlu,” katanya dalam sidang akhbar secara maya mengenai urusan pembaharuan LKM dan LMM pada Isnin.

Menurut rekod urusan pembaharuan LKM dan LMM bagi tempoh 1 hingga 15 Ogos, JPJ mencatatkan sebanyak 639,965 rekod pembaharuan, Pos Malaysia (373,805), MyEG (322,231) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pula 8,400 bagi urusan LKM sahaja.

Pos Malaysia sebelum ini memaklumkan janji temu boleh dibuat secara dalam talian melalui ciri Outlet Finder di www.pos.com.my atau aplikasi mudah alih Pos Malaysia dengan membuat pilihan negeri, cawangan pejabat pos dan klik pada pautan yang tersedia.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MyEG, Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha berkata, buat masa ini terdapat peningkatan transaksi yang tinggi dan pihaknya berusaha memastikan setiap transaksi dapat dihantar kepada pelanggan sebelum 30 September ini.

“Bagi pelanggan di kawasan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan), sekiranya terdapat kelewatan penghantaran, boleh hubungi talian 03-7801 8888 bagi urusan selanjutnya,” katanya. – Bernama