Input your search keywords and press Enter.

Serang Pengawal Keselamatan, Ahli Perniagaan Didakwa Membunuh

M Update, 09/09/2021 – Seorang ahli perniagaan yang sebelum ini didakwa menyerang pengawal keselamatan sebuah kondominium di sini, hari ini dihadapkan ke mahkamah sekali lagi, kali ini atas pertuduhan membunuh selepas mangsa meninggal dunia 27 Ogos lalu.

Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas polis mengklasifikasikan semula kes terbabit daripada Seksyen 335 kanun sama.

Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus dan mahkamah kemudian menetapkan 18 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ahmad Noor Azhar didakwa membunuh S Thava Sagayam di Tingkat 7, Menara Majestic, Jalan CM Yusuff, antara jam 8 pagi hingga 9.30 pagi pada 29 Disember 2020.

Bagi pertuduhan awal mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan, mahkamah melepaskan tanpa membebaskan tertuduh.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azalina Rashdi, manakala tertuduh diwakili pegum, Ariff Azami Hussein.

Turut hadir di mahkamah, isteri mendiang Thava Sagayam, E Philomena, 59, bersama empat peguam pemerhati, M Kulasegaran, A Sivanesan, N Selvam dan Omar Kutty.

Terdahulu, media melaporkan pengesahan polis mengenai video berdurasi dua minit 16 saat berkaitan kejadian terbabit yang tular dan berlaku pada 29 Disember 2020.

Berikutan insiden itu, ahli perniagaan berkenaan pada mulanya didakwa di mahkamah pada 6 Januari lalu mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan parah.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya dengan hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, mendapati kematian adalah akibat jangkitan kuman pada paru-paru. – BH Online