Input your search keywords and press Enter.

Status Hospital Selayang, Serdang bukan hospital COVID-19 bulan depan

M Update, 23/09/2021 – Hospital Selayang dan Hospital Serdang dijangka tidak lagi menjadi hospital COVID-19 pada akhir bulan depan susulan trend penurunan jangkitan wabak itu di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata bagaimanapun Hospital Sungai Buloh (HSB) dan Hospital Ampang masih kekal sebagai hospital COVID-19.

Beliau berkata, sejak pertengahan bulan ini, Hospital Selayang dan Hospital Serdang sudah dihibridkan yang kedua-dua hospital itu bukan lagi hospital COVID-19 sepenuhnya.

“Kami mahu dua hospital ini kembali kepada sedia kala iaitu katil untuk pesakit COVID-19 sudah banyak yang kosong (yang wajar diberi untuk merawat pesakit lain),” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, negeri itu mencatatkan penurunan kes jangkitan wabak termasuk kemasukan pesakit ke hospital dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) serta turut mencatatkan penurunan kadar positiviti iaitu tujuh peratus pada minggu ke-37 berbanding yang tertinggi iaitu 22.3 peratus pada minggu ke-30.

“Kita berada di landasan yang betul, walaupun jumlah saringan berkurang berbanding dulu, tetapi kadar peratus yang positif juga berkurang dengan kadar kebolehjangkitan kini bawah peringkat nasional iaitu 0.85,” katanya.

Selain itu, Dr Siti Mariah berkata, kadar kesembuhan juga meningkat kepada 97.1 peratus dengan setakat ini, kes aktif sebanyak 10,656 orang yang kebanyakannya dikesan di daerah Petaling, Hulu Langat dan Klang disebabkan faktor kepadatan penduduk.

Katanya, perkembangan positif itu berikutan kerjasama semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kadar vaksinasi yang tinggi juga berjaya menurunkan jumlah kes jangkitan di negeri itu. – BH Online