Input your search keywords and press Enter.

Majlis Sosial Di Tempat Tertutup Mungkin Sektor Terakhir Boleh Dibuka

M Update, 05/10/2021 – Majlis sosial diadakan di dalam tempat tertutup mungkin menjadi antara sektor terakhir dibenarkan untuk dibuka.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini, beliau tidak yakin prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan itu mampu dipatuhi sepenuhnya oleh orang ramai dalam majlis besar seperti perkahwinan. Beliau berkata, orang ramai mungkin akan menanggalkan pelitup muka dan mula bercakap bersama tetamu lain apabila mereka mula menjamu selera.

“Namun, kita akan lihat bagaimana sikap orang ramai apabila rentas negeri mula dibenarkan tidak lama lagi,” katanya dalam satu hantaran di laman Twitternya, semalam.

Hantaran itu ditulis bagi menjawab persoalan daripada seorang pengguna Twitter lain yang bertanyakan soalan itu kepada beliau.

Pada masa sama, Khairy menjelaskan orang ramai kini boleh melancong ke luar negara tanpa perlu menggunakan My Travel Pass (MTP) sebaik saja negara mencapai vaksinasi dewasa 90 peratus. Ketika ini, negara mencatatkan 87.6 peratus populasi dewasa lengkap divaksin dan kelonggaran serta kebenaran melancong itu akan berlaku tidak lama lagi.

“Berkumpullah bersama kawan dan ahli keluarga di luar negara, namun kuarantin diperlukan apabila anda kembali semula ke negara ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan rakyat negara ini yang mahu ke luar negara tidak perlu lagi memohon MTP apabila populasi dewasa di negara ini mencapai kadar 90 peratus vaksinasi lengkap. – BH Online