Input your search keywords and press Enter.

Langgar SOP Rentas Negeri, Kompaun Menanti Individu Tanpa Vaksin

M Update, 11/10/2021 – Polis akan terus mengenakan kompaun kepada individu yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) merentas negeri bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali, berkata tiada lagi amaran diberi dan pihaknya akan lebih bertegas termasuk mempertingkat pemantauan dan pemeriksaan pematuhan SOP di kawasan rehat dan rawat (R&R).

Beliau berkata, pemeriksaan secara mengejut yang akan dilakukan dari semasa ke semasa itu bagi memastikan individu tanpa vaksin tidak mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung.

“Kerajaan sudah umum mereka yang mahu merentas negeri perlu lengkap vaksin, maka mereka perlu patuhi perkara itu. Aspek pematuhan SOP sudah diingatkan sejak tahun lalu lagi. Ada masanya kita perlu berkeras. Kali ini, kita terus kompaun mereka yang rentas negeri tanpa vaksinasi lengkap tanpa diberi amaran dahulu,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pemeriksaan SOP tetap dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Perdana Menteri berkata, biarpun kerajaan memberi kebenaran untuk rentas negeri, ia tidak bermakna pihak berkuasa akan bersikap lepas tangan. Mengulas lanjut, Hazani berkata, berkata pihaknya akan terus mengadakan pemantauan SOP di kawasan tumpuan awam di seluruh negara termasuk R&R dan pusat beli-belah.

“Pemeriksaan secara rawak akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk memastikan pematuhan SOP orang awam mengikut undang-undang sedia ada.

Kita sedia maklum tiada lagi sekatan jalan raya untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi sekatan jalan raya dan operasi lain seperti Op Benteng tetap dilaksanakan untuk menangani aktiviti jenayah dan pelanggaran SOP,” katanya. – BH Online