M Update, 14/10/2021 – Dos penggalak vaksin COVID-19 akan mula diberikan kepada kelompok penerima pertama secara percuma dan sukarela.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata, pemberian suntikan pelalian mulai semalam itu akan membabitkan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan anggota barisan hadapan menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lalu.
Jelasnya, individu yang layak akan dimaklumkan melalui MySejahtera, manakala individu tanpa aplikasi itu bakal diberitahu melalui khidmat pesanan ringkas atau panggilan telefon oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), dengan matlamat memastikan tempoh perlindungan optimum diperoleh penerima vaksin COVID-19 di Malaysia. Dos penggalak diberikan kepada seseorang yang sebelumnya mendapat perlindungan mencukupi selepas vaksinasi lengkap, namun perlindungan itu menyusut dari semasa ke semasa. Justeru, ia akan diterajui klinik swasta (G) di bawah penyelarasan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.
“Pemberian vaksin dalam kalangan anggota barisan hadapan dan warga emas akan dikendalikan GP, manakala kemudahan kesihatan kerajaan memberikan suntikan pelalian kepada anggota kesihatan masing-masing.
“Anggota kesihatan swasta boleh mendapatkan dos penggalak daripada kemudahan kesihatan masing-masing, bergantung kepada persetujuan jabatan kesihatan negeri. Kemudahan kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula digunakan untuk pemberian suntikan vaksin kepada anggota barisan hadapan ATM,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Khairy berkata, pemberian dos penggalak akan membabitkan penerima dos lengkap vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer BioNTech dahulu, yang mana individu berkenaan bakal diberikan pelalian jenis sama. Katanya, hanya vaksin Comirnaty mendapat kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 8 Oktober lalu.
Beliau berkata, KKM merancang memulakan kajian pemberian dos penggalak bagi jenis vaksin berlainan dan ia akan dilaksanakan di Sarawak pada November depan dan bakal diperluaskan ke negeri lain selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC).
“Pemberian dos tambahan akan dilakukan terhadap individu berdepan masalah imuniti rendah seperti pesakit kanser, penerima organ, pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis dan sebagainya, jika dos lengkap tidak cukup memberikan perlindungan optimum untuk mereka. Dos tambahan ini diberi sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos lengkap vaksin COVID-19.
Pemilihan vaksin bergantung kepada kelulusan indikasi penggunaan oleh pakar perubatan merawat dan bekalan vaksin yang tersedia sama ada daripada jenis sama atau berlainan dengan dos terakhir. Pemberian dos tambahan akan dilakukan di kemudahan kesihatan terpilih menerusi pemantauan pakar perubatan,” katanya.
Menyedari kebimbangan dalam kalangan masyarakat, Khairy sekali lagi memberi jaminan bekalan vaksin di Malaysia mencukupi bagi pelaksanaan pemberian dos tambahan dan dos penggalak vaksin COVID-19. Sehubungan itu, katanya, setiap individu yang layak digalakkan untuk mengambil dos tambahan atau dos penggalak demi mendapatkan perlindungan optimum daripada jangkitan COVID-19. – BH Online